19 tahun saya sudah tidak beraya bersama keluarga, keluh pemuda ini dengan penuh penyesalan.

Pokok Sena: Setiap kali Aidilfitri, tahanan Penjara Pokok Sena dikenali Ali, 41, sebak mengenangkan isteri, anak dan cucu tidak dapat meraikan hari raya bersamanya sejak 19 tahun lalu.

Dia yang pernah menjadi ahli kumpulan perompak bersiri di Kuala Lumpur kini menghabiskan sisa usianya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat kerana jenayah samun bersenjata api yang dilakukan di ibu kota pada 1999.

Namun, dia masih boleh bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih dipanjangkan usia untuk meneruskan kehidupan di dunia ini memandangkan tiga lagi rakan jenayahnya maut ditembak polis dalam operasi menangkap mereka di Kepong selepas kejadian itu pada tahun sama.

Menurutnya, menjelang Aidilfitri, dia menjadi gelisah mengenangkan nasibnya yang masih di penjara, sedangkan isteri, anak dan cucunya beraya tanpa dirinya untuk tempoh lama.

“Saya ditahan polis pada 8 Januari 1999 dan Aidilfitri tahun itu jatuh pada 19 Januari, bermakna hari raya 11 hari saja lagi tetapi saya ditangkap.

“Pada tahun itu juga bermula sambutan Aidilfitri tanpa keluarga buat pertama kali dalam hidup saya,” katanya.

Ali ditemui pada Program Jalinan Kasih Sempena Aidilfitri peringkat penghuni Penjara Pokok Sena 2018 anjuran Unit Program Pembangunan Insan (PPI) Penjara Pokok Sena di sini, semalam.

Katanya, ‘ubat’ untuk dia menghalang perasaan takut atau sedih dengan mengasingkan diri di sudut bilik tahanan tanpa memikirkan langsung Aidilfitri atau keluarga.

“Namun itu semua hanya sementara, sejauh mana saya berbuat demikian semakin kuat ingatan saya terhadap mereka dan mereka kekuatan saya untuk meneruskan hidup.

“Kehadiran mereka sekurang-kurangnya membolehkan saya melihat perkembangan isteri, anak dan cucu yang membesar tanpa kehadiran saya,” katanya.

Dia mengakui ketika bergelumang jenayah, dia hanya fikir seronok mendapatkan wang dengan cara mudah dan cepat.

“Apa pun dilakukan kami, saya tidak pernah membunuh orang sebaliknya menggertak saja,” katanya.

Dianggarkan lebih 50 bank terkemuka di Lembah Klang menjadi ‘mangsa’ rompakan Ali dan rakannya sehinggalah dia ditangkap, manakala tiga lagi rakannya terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis.

Ali dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat oleh mahkamah pada 2000.

“Saya dipenjara di Penjara Sungai Buloh pada mulanya sebelum dipindahkan ke Penjara Pokok Sena pada 2010 bagi membolehkan keluarga menetap di Derga, Alor Setar menziarahi saya.

“Jika ada peluang meneruskan kehidupan di luar sana, sudah tentu saya mahu kembali semula kepada keluarga dan memulakan kehidupan baru,” katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, 14 banduan penjara itu terpilih bertemu keluarga masing-masing.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, Faridon Md Saad dan Penguasa Penjara Pokok Sena, Rosli Abdul Razak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*